Monday, November 16, 2009

Tinggal Kenangan

Assalamualaikum.

Hari ini aku nak post satu cerita yang lain sikit special untuk kawan aku, Dayat LC. Kalau tengok pada tajuk posting ‘Tinggal Kenangan’ dan juga video klip Saleem ini, mesti ramai yang ingat ini cerita cinta. Tapi tidak sama sekali.

Cerita yang sebenarnya adalah berkaitan dengan helmet ARC pearl white kesayanganku yang telah dicuri di kawasan parking motor dekat Kompleks Bukit Jambul minggu lepas. Helmet tu aku ikat kat bawah seat motor sebelum masuk ke kompleks BJ tu. Dah settle jalan2 kat situ, terus turun bawah dan nak balik rumah.

Bila dah sampai kat motor, helmet kesayangan dah tak ada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan apa? Tali helmet yang melekat dibawah seat lepas kena potong tu la jadi kenangan. Frust dan sedih betul time tu. Sekarang ini kalau tengok balik kat tali tu terus teringat kat helmet ARC. Apa boleh buat, redha ja la dengan apa yang dah jadi ni.

Pesanan untuk penyangak helmet Bukit Jambul, berhenti sajalah buat kerja macam ni. Didunia ni mungkin boleh terlepas, diakhirat nanti belum tentu lagi. Fikir2kanlah.

Dayat, macam nilah ceritanya. Sekarang ni aku dah ada helmet baru la, helmet KHI pearl white sebagai pengganti. Tapi taklah best sangat macam ARC dulu tu.

ARC..kini tinggal kenangan..

Friday, November 6, 2009

Namewee VS TNB


Namewee ni tak tahu nak bezakah antara breakdown dengan shutdown. Kalau shutdown baru boleh keluarkan notis. Breakdown ni bila-bila masa pun boleh jadi. Staf tu pun dah terangkan apa yang terjadi. TNB tu mesti la ada elektrik, kalau tak ada macam mana nak selesaikan masalah tu kalau semua bergelap.

Gunakan akal untuk berfikir, bukan serang membabi buta dengan mengeluarkan perkataan kesat. Buang duit saja pergi belajar jauh-jauh tapi hal senang macam tu pun tak boleh nak fikir. Jangan sampai orang cakap, ‘pandai tak boleh nak tumpang, bodoh tak boleh nak ajar’.

Bak kata Nabil, ‘Lu pikir la sendiri’.

Monday, September 7, 2009

Video Islam Dihina



Mengapa Islam dihina secara terbuka seperti ini? Jawapannya adalah kerana mereka ini dilindungi oleh ‘abang-abang’ besar iaitu pimpinan PAS dan PKR. Buatlah apa pun, pasti mereka akan dibela dan tindakan mereka akan dipertahankan. Tak sabar nak dengar komen dari PAS dan PKR mengenai isu ini.

Kemana perginya penyokong pakatan yang suka berdemonstrasi tu? Ayuh lakukan demo bagi membantah tindakan yang menghina Islam ni. Demo bantah ISA dulu boleh saja turun beramai-ramai. Takkan demo pertahankan Islam tak boleh nak usahakan. Sekurang-kurangnya tuntut anak India ini mohon maaf secara terbuka kerana telah mengeluarkan kenyataan yang telah menyakitkan hati umat Islam.

Sunday, May 10, 2009

Happy Mother's Day

Special dedicated to my mama..
HAPPY MOTHER'S DAY..

Sunday, April 5, 2009

Video Panas: Pelakon Popular Dibelasah


Pendedahan oleh bekas Ketua PKR Kedah, Bahagian Jerai, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Masyarakat India Kedah, B. Kalaivanar.

Kalaivanar mendakwa:

Eli dihantar ke Amerika untuk bertemu Soros.

Anwar beri arahan kepada Eli agar tidak meletak jawatan.

Projek 16 September, suatu penipuan.

Akhbar Tamil menipu dan memfitnah beliau.

Ustaz Azizan membuat penipuan dikhalayak ramai.

Dituduh menyertai MIC.

Benarkah dakwaan Kalai? Pesanan kepada penyokong pakatan, sila buat laporan kepada polis sekiranya dakwaan yang dibuat oleh Kalai mengandungi unsur fitnah dan bohong semata-mata.

Saturday, April 4, 2009

Video Panas: Anwar Penipu, PKR Hancur!

Pendedahan oleh bekas Ketua PKR, Bahagian Jerai, B. Kalaivanar.

Kalaivanar mendakwa:

Arumugam, bekas Exco dan Adun Bukit Selambau sewa rumah di Kelab Cinta Sayang bernilai RM2000.

MB beli rumah bernilai RM 4 juta.

Beri rasuah kepada Adun PKR boleh dapat kerja.

Friday, April 3, 2009

Najib PM Ke-6

Najib angkat sumpah Perdana Menteri ke enam

KUALA LUMPUR 3 April — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas perlantikan tersebut.

Diharapkan masa depan Melayu dan Islam akan lebih terbela serta Malaysia akan dipacu ke era kegemilangan dibawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.

Datuk Seri Najib Tun Razak, selamat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, terima kasih diucapkan atas jasa dan sumbangan kepada negara selama menjadi Perdana Menteri. Walau apa pun yang terjadi sebelum ini, pasti ada hikmahnya.

Saturday, March 28, 2009

Thursday, March 26, 2009

Fairus Dicekup

Fairus ditahan SPRM untuk membantu siasatan

GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan sebuah syarikat kuari di Seberang Prai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu ditahan di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) di Johor, kira-kira jam 11 malam tadi. "Beliau ditahan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Sumber: Berita Harian Online

Fairus sudah dicekup. Bila pula giliran Datuk Seri Ali Rustam akan ditahan SPRM untuk membantu siasatan? Beliau telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Laporan terhadap beliau telah dibuat. Bila SPRM akan bertindak?

Sunday, March 22, 2009

Alkisah Fairus

Fairus letak jawatan TKM Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Mohamad Fairus Khairuddin disahkan telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Exco negeri.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng tengah hari tadi.

Keputusan itu berkuat kuasa 8 April iaitu sehari selepas tiga pilihan raya kecil serentak.

Bagaimanapun beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, Dato' Zahrain Mohamed Hashim berkata, dalam surat letak jawatan yang dikemukakan hari ini ada disebutkan bahawa Fairus mahu melanjutkan pengajian ijazah lanjutan.

Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim juga berkata, Fairus telah meminta cuti untuk memikirkan kedudukannya dalam kerajaan selepas mendapat tawaran belajar.

"Dia telah pilih untuk teruskan pelajaran dan hal itu menyukarkan beliau untuk teruskan tugas sebagai Exco dan Timbalan Ketua Menteri," katanya.

Difahamkan beliau telah menerima tawaran untuk belajar di luar negara.

Zahrain berkata, Fairus telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengemukakan surat letak jawatan pagi ini.

Sumber: Harakahdaily

Benarkah YB Fairus meletakkan jawatan sebagai TKM1 dan Exco disebabkan ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara?

Apakah perletakan jawatan ini tidak ada kena mengena dengan pendedahan yang dibuat oleh ahli PKR mengenai salah laku dan menerima rasuah dari penguasaha kuari?

Sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, mengapa beliau tidak meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti? Tidakkah tindakan beliau untuk kekal sebagai Adun akan menyusahkan rakyat dikawasan tersebut yang ingin berurusan dengan beliau sekiranya beliau sedang melanjutkan pelajaran diluar negara?

Sekumpulan penyokong pakatan telah mengadakan demonstrasi di Masjid MITC Melaka selepas solat Jumaat bagi mendesak Ketua Menteri Melaka supaya meletakkan jawatan. Mengapa para penyokong pakatan ini tidak melakukan demonstrasi dan mendesak supaya SPRM menyiasat YB Fairus berdasarkan pendedahan yang telah dibuat? Ke mana mereka menghilang?

Friday, March 6, 2009

Muslihat Uthayakumar


Muslihat Uthayakumar

KUALA LUMPUR 5 Mac – Di sebalik perhimpunan haram kerana mendakwa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), P. Uthayakumar tidak diberi rawatan di penjara, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini menceritakan apa sebenarnya berlaku kepada tahanan itu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata: ‘‘Uthayakumar dari semasa ke semasa enggan menerima rawatan yang dijadualkan serta ubat-ubatan yang dibekalkan.

‘‘Berdasarkan rekod Tempat Tahanan Perlindungan (TTP) Kamunting, Taiping, Uthayakumar telah 18 kali menolak untuk rawatan dan ubat- ubatan termasuklah di Institut Jantung Negara (IJN).”.

Syed Hamid dalam kenyataan akhbar di sini berkata, antara rawatan yang ditolak oleh Uthayakumar ialah pemeriksaan doktor pakar Hospital Taiping pada 28 April 2008, kardiologi di Hospital Pulau Pinang (6 Mei 2008) dan temu janji dengan IJN (22 Mei 2008).

“Antara tuduhan yang dilemparkan ialah kerajaan tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap kesihatan Uthayakumar dan dinafikan rawatan kesihatan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Sekiranya para penyokong Hindraf ingin melihat Uthayakumar ini sihat dan bebas dari sebarang penyakit, saya mencadangkan supaya dia dibebaskan daripada ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya yakin dan percaya dengan pembebasan dari ISA akan membuatkan dia sembuh daripada sebarang ‘penyakit’ sama ada biasa mahupun serius. Pembebasan ini ibaratkan sebagai penawar yang paling mujarab.

Tengok sajalah bagaimana keadaan DS Anwar semasa dipenjara dahulu. Pelbagai ‘penyakit’ yang dihadapi beliau sehingga boleh membawa maut dan perlukan rawatan pakar dari luar negara. Nak berjalan pun perlu dipegang dan pimpin. Tetapi apabila beliau dibebaskan, keadaan kesihatan beliau pulih dengan cepat dan pentas ceramah di Ijok menjadi saksi kepada aksi joget beliau.

Sunday, March 1, 2009

Tahniah Pemuda BN Kedah

Pemuda BN serah memorandum bantah hina sultan

ALOR SETAR 1 Mac — Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Kedah, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri sebagai tanda bantahan terhadap dakwaan berlakunya penghinaan terhadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid, yang mengetuai 50 anggota Pemuda BN negeri termasuk MCA, MIC dan Gerakan, menyerahkan memorandum itu kepada wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Mohd Rizal Mohd Radzi, di Wisma Darul Aman di sini, kira-kira pada pukul 10.30 pagi.

Mohd Rawi berkata penyerahan memorandum itu adalah susulan daripada tindakan laporan polis yang dibuat di bahagian masing-masing sebelum ini, selepas Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahnya 23 Feb lalu.

“Sementara menunggu pihak polis menyiasat kes ini, kami menyerahkan memorandum ini sebagai membuktikan ketegasan dalam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

“Kandungan memorandum termasuklah usul supaya memecat Exco yang didakwa terlibat dan berharap pihak Istana menarik balik semua pingat kebesaran yang dianugerahkan kepadanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tahniah diucapkan kepada Pemuda BN Kedah kerana bertindak mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu daripada terus dihina oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dan biadab sejak akhir-akhir ini.

Penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu diumpamakan sebagai penghinaan terhadap kaum Melayu. Tindakan golongan ini benar-benar menguji kesabaran orang Melayu.

Sekiranya mereka yang terlibat didapati bersalah, tindakan dan hukuman mesti dikenakan terhadap Exco dan pegawai kanan kerajaan tersebut.

Friday, February 27, 2009

Tol Naik

Abdullah minta kabinet timbang semula kenaikan tol

PATTAYA 26 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

Perdana Menteri berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean di sini hari ini.

Abdullah berkata walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang.

“Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej ransangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen 10 Mac. – Bernama

Disaat rakyat Malaysia sedang berdepan dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kenaikan harga barang, kerajaan memutuskan untuk memberikan ‘hadiah’ kepada kita iaitu kenaikan kadar tol pada 1 Mac ini.

Saya berpendapat keputusan yang dibuat ini adalah tidak wajar dan tidak kena pada masanya. Kenaikan tol ini semestinya akan memberikan kesan yang buruk terutama kepada pengguna yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Kerajaan sepatutnya mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu kenaikan tol ini. Penangguhan ini sudah pasti akan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia ketika ini.

Saturday, February 21, 2009

Spider - Mabuk

Spider - Mabuk

Sepuluh sembilan
Katamu satu pun tak boleh pakai
Sepuluh sembilan
Janjimu satu pun tak boleh pegang

Dunia dan apa isinya
Hanya kau punya
Segala-gala kau dah ada
Tak cukup kau masih minta tambah

Mabuk bukan mabuk
Mabuk nama mabuk cinta mabuk kuasa

Sepuluh sembilan
Bertemu tak satu bukan khayal
Sepuluh dan sembilan
Putihmu tak satu bukan sihir

Rembulan dan sinar cahaya
Pada yang kau puja
Hanyalah serpihan
Bongkah melayang di angkasa

Rembulan dan sinar cahaya
Hanyalah serpihan
Bongkah melayang di angkasa

Monday, February 16, 2009

Isu Gambar Bogel

Exco Selangor buat laporan polis isu gambar bogel

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong membuat laporan polis malam tadi berhubung penyebaran gambar bogelnya dalam internet.

Beliau yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan membuat laporan di Balai Polis Damansara dekat sini kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ahli politik berusia lewat 30-an itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Letak jawatan merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah moral ini.

Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang tidak berakhlak tanpa mengira dari parti mana sekalipun.

Saturday, February 14, 2009

Titah DYMM Sultan Selangor: 'Jangan Biadab'

KENYATAAN AKHBAR KHAS PENEGASAN TERHADAP PERGOLAKAN POLITIK YANG BERLAKU DI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa pada beberapa gelagat biadab terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan beta. Perkara ini lebih-lebih lagi dirasai oleh beta kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak adalah ayahanda saudara beta. Malah, keluarga diraja kedua-dua buah negeri ini mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah yang beta kenali adalah seorang tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman baginda, sesuai dengan kedudukan baginda sebelum ini sebagai mantan Ketua Hakim Negara. Baginda dan keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat jelata, sehinggakan kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit.

Apa yang kita dapat saksikan yang telah dan sedang berlaku semenjak minggu lalu di negeri Perak amat membimbangkan sesiapapun yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama.

Kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu, kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadaban sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya “mob" amat memalukan.

Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, “barulah kita kenal siapa kaca siapa permata”. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang “marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar”.

Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita. Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji seperti biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Kegawatan ekonomi yang semakin meruncingkan di peringkat global dan serantau menuntut kita supaya memantapkan perpaduan sesama kita walaupun ada perbezaan pendirian. Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana.

Kepada mereka yang telah berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan, termasuk peranan institusi raja-raja, maka beta ingin menasihatkan supaya rakyat menggunakan pertimbangan dari akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajuan seterusnya.

(DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ)
SULTAN SELANGOR
13 Februari 2009

Sumber: Utusan Malaysia Online

Saturday, February 7, 2009

Demonstrasi di Perak

Beginilah aksi kegilaan penyokong PR semasa merusuh ke arah istana untuk membantah Titah Sultan Perak semalam. Tindakan mereka ini pasti mendapat arahan dari pihak atasan PR bagi menimbulkan keadaan kacau bilau di negeri Perak.

Kanak-kanak dan wanita dijadikan perisai dan diletakkan dibahagian hadapan semasa bertempur dengan pihak FRU. Keganasan dan sikap yang amat memalukan ini pasti mencemarkan nama negeri Perak dan Malaysia khususnya di mata dunia.

Walaubagaimanapun, anggota FRU ini telah menjalankan tugas dengan profesional dan tidak mempamerkan kekerasan kepada penyokong PR yang bertindak liar ini.

Pelbagai objek telah dilemparkan oleh penyokong PR kepada pihak polis namun ianya tidak sedikit pun menggentarkan pihak polis daripada menjalankan tugas mereka terhadap negara.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PDRM kerana telah menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam di negeri Perak. Sumbangan pihak polis amat besar pada negara dan rakyat Malaysia.

Terima kasih PDRM.

Friday, February 6, 2009

Najib seperti Zionis?

Rampas Perak, Najib seperti Zionis

PULAU PINANG, 6 Feb (Hrkh) - Tindakan Barisan Nasional yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Abdul Razak dalam merampas kerajaan negeri Perak ibarat Zionis, Israel.

Demikian ulas, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin sambil menegaskan, media pro Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang berusaha mengelirukan rakyat tentang situasi di Perak ketika ini.

"Setakat semalam Menteri Besar, Dato' Seri Nizar masih Menteri Besar yang sah dari segi perundangan. Biar rakyat yang menentukan bagaimana keadaan Negeri Perak seterusnya bukan dirampas bagaikan rejim zionis." ujarnya lagi.

Sumber: www.harakahdaily.net

Berdasarkan situasi yang berlaku di Perak, Dato' Seri Najib disamakan dengan Zionis oleh pihak PR. Saya ingin bertanya kepada pihak PR, bagaimana pula dengan projek rampasan kuasa 16 September yang dicanangkan oleh Datuk Seri Anwar ke seluruh dunia. Adakah beliau dan sekutunya dalam PR boleh disamakan dengan rejim Zionis?

Kalau orang lain yang buat semuanya salah dan tidak ada satu pun yang betul, tetapi apabila pihak anda yang laksanakan semuanya ok dan tidak salah.

Kepada YB Mohamad Fairus Khairudin, katakan saja tindakan bos anda tu seperti Zionis. Letak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan keluar dari PKR sebagai tanda protes dan bukti anda tidak sukakan tindakan ala Zionis yang anda maksudkan.

Wednesday, February 4, 2009

BN di Perak

BN bentuk kerajaan baru di Perak

PUTRAJAYA 4 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.

Ini berikutan keputusan tiga calon Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong yang telah menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.

Datuk Nasharuddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO.

Dengan pengumuman itu, BN kini memiliki 31 kerusi berbanding PKR sebanyak 28 kerusi.

Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.

Najib berkata, beliau akan mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkara itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Lompat sana lompat sini. Akhirnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diterajui DAP tumbang hari ini dengan BN yang memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Hari ini kerajaan PR tumbang dan tidak mustahil kerajaan BN Perak juga akan tumbang esok ataupun lusa sekiranya senario lompat parti ini berlanjutan. Sampai bila mahu jadi begini?

Dalam keadaan kita terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi dan ribuan rakyat yang telah dibuang kerja, politik di Perak pula haru biru. Sudah pasti situasi ini akan memberi kesan besar terhadap ekonomi terutama di Perak.

Yang pasti rakyat akan menjadi mangsa keadaan.

Diharapkan tiada lagi pihak yang akan melompat parti selepas ini. Beri tumpuan penuh terhadap ekonomi dan pembangunan negeri.

Thursday, January 22, 2009

Lim Guan Eng dan Islam

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini. ”Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun sosial."

“Ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama. Sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam perutusan Eidulfitrinya.

Beliau percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. ”Melalui kitab suci Al-Quran ada disebut mengenai Amar Ma’ruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan. Ia merupakan puncak tertinggi dalam agama Islam itu sendiri.”

Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran. Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

Sumber : itachi021.blogspot.com

Daripada kenyataan Lim Guan Eng ini, dapatlah disimpulkan bahawa beliau memahami dan mengakui bahawa Islam adalah agama yang lengkap dalam semua aspek kehidupan kita.

Tetapi, apabila disebut mengenai undang-undang Islam iaitu hudud, mengapa beliau menjadi orang pertama yang membantah cadangan perlaksanaan hukum ini?

Beliau mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat, tetapi adakah beliau sedar bahawa politik jahat itu dimulakan oleh beliau sendiri dengan mempolitikkan agama Islam hanya untuk meraih sokongan dan undi Melayu terhadap DAP?

Bak kata MB Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan, lebih baik Lim Guan Eng mengucap dua kalimah syahadah dan masuk Islam jika beliau mengakui bahawa Islam itu agama yang betul.

Kepada Lim Guan Eng, hentikanlah daripada mengeluarkan kenyataan yang bersifat retorik kosong yang bertujuan tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk memancing undi dan sokongan kaum Melayu terhadap DAP.

Sunday, January 18, 2009

Boikot: Suatu Kejayaan


13 January 2009

Perniagaan ini beroperasi di negara Muslim, memberi pekerjaan dan meningkatkan ekonomi. Tidakkah usaha boikot merugikan kita sendiri?

Benar, banyak dari syarikat perniagaan yang tersenarai menjalankan operasi atau perniagaan mereka di negara-negara Islam, justeru mereka memberi pekerjaan kepada masyarakat Islam dan membantu ekonomi negara Islam. Tetapi kita seharusnya belajar dari peristiwa-peristiwa pembangunan ekonomi dunia, di mana keruntuhan sesebuah entiti perniagaan selalunya membuka peluang kepada entiti yang lain. Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan sebagai kehilangan punca ekonomi.

Sebagai contoh, Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, ZamZam Cola. ZamZam Cola sehinggakan tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola. Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark, mula mengimpot ZamZam Cola.

Senario sama berlaku di Mesir pada tahun 2001, di mana penutupan syarikat Sainsbury telah berjaya meningkatkan perniagaan milik tempatan yang tidak mungkin mampu bertahan dengan dominasi pasaran syarikat-syarikat besar dari luar.

Buat kita di Malaysia, apakah salahnya kita meninggalkan ayam goreng McDonald’s dan seterusnya mencuba produk alternatif, contohnya Radix Fried Chicken atau mana-mana restoran Mamak Muslim berdekatan. Tidak rugi kita meninggalkan minuman Coca-Cola dengan memilih alternatif produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Apakah salahnya kita beralih daripada mengunjungi Pasaraya Tesco kepada Pasaraya Maidin?

Apakah usaha ini akan berjaya?

Mengapa tidak? Lihat kepada salah satu syarikat yang mengalami kesan teruk akibat boikot -McDonald’s.
McDonald’s merupakan “rakan korporat utama” kepada Jewish United Fund (JUF.) JUF menggelarkan diri mereka sebagai “bekerja untuk mengukuh ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel; memerhati dan sekiranya perlu, memberi respon kepada laporan media berkenaan Israel.” Pengerusi dan Ketua Eksekutif McDonald’s adalah Jack M Greeberg, yang juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry.

Dalam bulan Oktober 2002, McDonald’s menutup operasi mereka di Asia Tengah kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot. Di Jordan, 2 daripada 6 francais McDonald’s terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di Mesir, McDonald’s terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan pelanggan. Usaha menukar jenama itu tidak berjaya, dan pihak berkuasa Mesir terpaksa diarahkan mengawal pintu-pintu masuk ke restoran McDonald’s akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan. Sejumlah 175 restoran mungkin ditutup, dengan membawa kerugian sebayak USD350juta.

Sekiranya syarikat gergasi seperti McDonald’s boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Dalam kes memboikot Amazon.com, perniagaan yang menjual buku dan produk berkaitan melalui internet tersebut telah menghentikan kerjasama mereka dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002. Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang dari tugasan mereka di daerah Palestin.

Iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi “Buy Amazon.com & Support Israel” dipaparkan dalam hampir setiap mukasurat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat yang sedih dengan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, membuat keputusan untuk turut bersama memboikot Israel.

Pada bulan May 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di US yang mengekspot peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan dengan Israel.

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan US dan Israel, sehinggakan US mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan US telah mengenakan lebih dari USD 26milion denda tidak lagi mengeluarkan lesen ekspot kepada syarikat yang terlibat.

Kepada rakan-rakan blogger sekalian, anda digalakkan menyiarkan artikel kejayaan kempen boikot ini diblog anda. Semoga infomasi kejayaan ini dapat diketahui oleh semua pihak yang masih meragui mengenai kesan dan kejayaan kempen ini.

HIDUP PALESTIN, HANCUR ZIONIS!!

Tuesday, January 13, 2009

Boikot dan Boikot

Berikut adalah antara barangan Israel dan US secara tidak langsung yang patut diboikot dan tidak diteruskan pembelian atau penjualannya. Boikot adalah salah satu kaedah untuk kita menentang mereka yang kejam dan zalim terhadap golongan yang tidak berdosa di bumi Palestin. Kempen boikot ini mestilah dijalankan secara konsisten dan berterusan oleh semua pihak.



Saturday, January 10, 2009

Polis

Berhenti fitnah polis - Mohd. Shukri

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Pemimpin pembangkang diminta berhenti menyebarkan fitnah kononnya polis menyamar sebagai penyokong Pas untuk melakukan provokasi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan menegaskan pihaknya tidak pernah menghantar anggota Cawangan Khas untuk menyusup masuk ke dalam markas parti pembangkang.

"Bagaimana pegawai polis hendak masuk ke dalam markas Pas. Ahli Pas kenal antara satu sama lain manakala orang luar pula perlu memakai kad pengenalan diri.

"Jangan memfitnah polis dengan membuat kenyataan rambang. Pihak polis tidak pernah membuat perancangan untuk menyusup masuk ke dalam markas Pas," katanya pada sidang akhbar harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pas bahawa polis Cawangan Khas menyamar sebagai penyokong parti itu untuk mendapatkan maklumat.

Mohd. Shukri berkata, sekiranya dakwaan itu benar, parti pembangkang boleh menangkap atau menghalau 'anggota polis' berkenaan dari markas mereka.

"Mengapa tidak menangkap atau menghalau dia kalau sudah tahu dia pegawai Cawangan Khas. Kemudian maklumkan kepada saya," ujarnya.

Beliau menambah, kehadiran anggota polis hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, lalu lintas dan kegiatan jenayah.

Mohd. Shukri seterusnya meminta semua pihak tidak mempolitikkan kehadiran kira-kira 6,000 anggota dan pegawai polis di Kuala Terengganu sempena pilihan raya kecil kawasan itu.

"Polis adalah pasukan yang matang dan tahu tanggungjawabnya iaitu mengawal keselamatan. Jika peranannya dipolitikkan, ia tidak bagus untuk keselamatan semua pihak," ujarnya.

(Utusan Malaysia online)

Kehadiran anggota dan pegawai polis ke Kuala Terengganu tidak lain tidak bukan adalah untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan semua pihak. Malang sekali kehadiran mereka kerana tugas keselamatan dipersoalkan dan dijadikan pula isu politik.

Bila tiada polis dan berlaku kes jenayah, golongan ini jugalah yang membantah dan mengutuk pasukan polis. Kecoh Dewan Rakyat dibuatnya yang mempersoalkan tugas polis ini. Tahap keselamatan kita longgar, rakyat berasa tidak selamat dan pelbagai lagi tohmahan dilemparkan kepada pihak polis.

Ada polis salah, tak ada polis pun salah. Apa sebenarnya yang mereka mahu?

Sunday, January 4, 2009

Piala Sumbangsih

Perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah dan Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih sebentar tadi menyaksikan kemenangan berpihak kepada Selangor sebagai johan.

Kekalahan skuad Sang Kenari dalam kejohanan ini mungkin disebabkan pemain gagal untuk membiasakan diri dengan corak permainan tanpa kelibat pemain import. Bagi saya kekalahan skuad Kenari ini adalah perkara biasa dalam kejohanan Piala Sumbangsih, kerana berdasarkan sejarah kejohanan ini, pasukan terkuat dalam liga selalunya akan tumpas ditangan pasukan yang kurang menyerlah dalam liga. Ini adalah realiti perlawanan untuk Piala Sumbangsih.

Yang pasti rekod double treble dipegang oleh pasukan Kedah berdasarkan kemenangan dalam Liga Super, Liga Malaysia dan Piala FA bagi tahun 2007 dan 2008 berturut-turut. Ini merupakan suatu kejayaan yang membanggakan yang pasti dicemburui oleh pasukan lain.

Diharapkan Sang Kenari akan terbang lebih tinggi bagi musim baru ini. Semoga sampai ke destinasi yang dituju.

Pulun Kedah Pulun.