PATTAYA 26 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.
Perdana Menteri berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean di sini hari ini.
Abdullah berkata walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang.
“Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej ransangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen 10 Mac. – Bernama
Disaat rakyat Malaysia sedang berdepan dengan krisis ekonomi, pengangguran dan kenaikan harga barang, kerajaan memutuskan untuk memberikan ‘hadiah’ kepada kita iaitu kenaikan kadar tol pada 1 Mac ini.
Saya berpendapat keputusan yang dibuat ini adalah tidak wajar dan tidak kena pada masanya. Kenaikan tol ini semestinya akan memberikan kesan yang buruk terutama kepada pengguna yang berpendapatan sederhana dan rendah.
Kerajaan sepatutnya mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu kenaikan tol ini. Penangguhan ini sudah pasti akan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia ketika ini.