Saturday, November 15, 2008

Papan Tanda

Sekali tengok mungkin kita akan menjangkakan situasi dalam gambar ini berlaku di Beijing atau Hong Kong. Sebenarnya tidak. Keadaan ini berlaku di Pulau Pinang, negeri kelahiran Ketua Pembangkang DS Anwar yang telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat dan diterajui oleh DAP.

Kejayaan DS Anwar dalam pilihan raya lalu adalah disokong kuat oleh imejnya sebagai pejuang rakyat dan dengan itu beliau membawa bersamanya bukan sahaja harapan akar umbi bukan Melayu, tetapi perasaan dan hati nurani orang Melayu di akar umbi terutama di Pulau Pinang yang berada dalam perasaan terhina. Yang ada pun pada orang Melayu di Pulau Pinang ialah simbol-simbol yang mendaulatkan kedudukan mereka seperti masjid dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Adalah mengejutkan dalam soal yang berkaitan dengan kedaulatan sekalipun hanya merupakan simbol tidak diambil berat oleh beliau. Anwar membisu seribu bahasa terhadap langkah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP untuk memasang tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak Warisan di George Town.

Apakah sebagai Ketua Pembangkang beliau tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan sekutunya supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menghakis pengaruh beliau sendiri di Pulau Pinang dan menimbulkan kemarahan orang Melayu? Tidakkah ini membayangkan sikap beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri kelak?

Setelah kejayaan cemerlang parti pembangkang yang menghapuskan kuasa dua pertiga kerajaan Barisan Nasional, Anwar berazam untuk menggulingkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat telah turut serta dalam keghairahan beliau ini dan sekalipun 16 Sepetember telah mencatatkan sejarah hitam dalam karier politiknya sebagai seorang yang tidak dapat menunaikan janjinya kepada mereka, namun sebahagian besar masih mempercayainya.

Sentimen politik, ketaksuban kepada kepimpinan dan kelemahan berfikir secara rasional, terpengaruh dengan karisma pemimpin, telah membutakan mata rakyat terhadap kemungkinan yang akan berlaku kepada kepentingan bangsa, agama dan negara jika Anwar Ibrahim menjadi Pedana Menteri.

Apakah beliau akan dapat mengawal sentimen dan dasar parti-parti yang meletakkannya sebagai Ketua Pembangkang atau akan lebih mementingkan untuk membuat penyesuaian bagi mengekalkan kuasa?

Tidak ada seorang pun yang sanggup melihat pencerobohan, penghinaan dan provokasi yang sengaja dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengisi sentimen penyokong-penyokongnya atau untuk kepentingan politik dengan menghina kedudukan Bahasa Kebangsaan. Anwar Ibrahim seolah-olah langsung tidak merasai perasaan ini yang telah bergegar di seluruh negara termasuk di kalangan ahli-ahli partinya sendiri.

Terlalu merendahkan taraf pemikirannya jika Anwar Ibrahim dianggap turut percaya dengan strategi DAP meletakkan tulisan jawi untuk menjustifikasikan penggunaan pelbagai bahasa lain di papan tanda di Pulau Pinang. Apakah tulisan rumi yang bersifat tulisan antarabangsa tidak difahami oleh kebanyakan pelawat luar negara yang memahami bahasa Inggeris.

Mengapakah DAP menggunakan tulisan jawi di papan tanda di Pulau Pinang sedangkan seorang anggota Parlimen DAP mahu menghapuskan tulisan jawi di Bukit Bintang Kuala Lumpur? Tidakkah ini menghina kemampuan berfikir orang Melayu? Apakah Anwar Ibrahim membisu kerana beliau percaya kepada matlamat menghalalkan cara?

Semua ini adalah membayangkan kepada orang Melayu tentang dasar dan cara kepimpinan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai seorang Melayu dan Islam, melihat kepada tindak tanduknya terutama selepas pilihan raya, saya yakin bahawa Anwar bijak untuk mencapai matlamat dengan menghalalkan cara tetapi dalam jangka masa cara dihalalkan, banyak sudah matlamat dan maruah yang berkaitan dengan dasar nasional dan keagamaan dihancurkan.

Saya bersyukur Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008 lalu. Bagi saya, kita sebagai orang Melayu ini baik dan mudah untuk bertolak ansur, dalam pada masa yang sama, Melayu ditolak beransur-ansur. Inilah realiti yang sedang dan akan berlaku apabila DAP, anak buah PAP di Singapore mempunyai kuasa.

195 comments: