Saturday, November 29, 2008

Cuti

Tamatlah sudah pengajian kita untuk semester 1 tahun 4 ini dengan berakhirnya Automotive Styling Presentation pada Rabu lepas. Maka bermulalah cuti penggal semester ini yang sangat ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Tempoh cuti sebulan ini bolehlah digunakan untuk merehatkan minda dan fizikal setelah digunakan dengan bersungguh-sungguh demi untuk menyiapkan segala tugasan dan projek yang bertimbun banyaknya.

Ada dikalangan rakan kita yang mengambil peluang cuti ini dengan bekerja untuk menambah duit poket. Sikap berdikari seperti ini boleh dijadikan contoh untuk diri saya sendiri dan juga rakan-rakan yang lain. Sekurang-kurangnya tidak membuang masa dan duit dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Masa yang terluang seperti ini juga boleh dimanfaatkan untuk melancong bersama keluarga. Banyak tempat yang menarik di Malaysia ini yang boleh dilawati. Bak kata orang jauh perjalanan luas pemandangan. Alamilah keseronokkan bercuti di Malaysia!

Kepada rakan-rakan yang tidak dapat pulang untuk bercuti dek kerana tugas iaitu menyiapkan PSM, dinasihatkan jangan bersedih. Lakukanlah tugas ni dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Perlu diingat, tugas ini bukan untuk sesiapa tetapi untuk kepentingan diri kita juga. Berdasarkan perancangan awal, saya terpaksa pulang dari cuti lebih awal untuk menyiapkan PSM ini.

Hari Raya Aidiladha bakal menjelang tidak lama lagi. Sekiranya kita mempunyai wang yang mencukupi, maka bolehlah kita mengerjakan ibadah korban untuk tahun ini.

Jaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing semasa cuti ini. Perjuangan kita belum selesai dan masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Bercuti dan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua. Hingga bertemu lagi dilain hari dan waktu, Insyaallah.

Saturday, November 15, 2008

Papan Tanda

Sekali tengok mungkin kita akan menjangkakan situasi dalam gambar ini berlaku di Beijing atau Hong Kong. Sebenarnya tidak. Keadaan ini berlaku di Pulau Pinang, negeri kelahiran Ketua Pembangkang DS Anwar yang telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat dan diterajui oleh DAP.

Kejayaan DS Anwar dalam pilihan raya lalu adalah disokong kuat oleh imejnya sebagai pejuang rakyat dan dengan itu beliau membawa bersamanya bukan sahaja harapan akar umbi bukan Melayu, tetapi perasaan dan hati nurani orang Melayu di akar umbi terutama di Pulau Pinang yang berada dalam perasaan terhina. Yang ada pun pada orang Melayu di Pulau Pinang ialah simbol-simbol yang mendaulatkan kedudukan mereka seperti masjid dan kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Adalah mengejutkan dalam soal yang berkaitan dengan kedaulatan sekalipun hanya merupakan simbol tidak diambil berat oleh beliau. Anwar membisu seribu bahasa terhadap langkah kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP untuk memasang tanda pelbagai bahasa di kawasan tapak Warisan di George Town.

Apakah sebagai Ketua Pembangkang beliau tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan sekutunya supaya jangan melakukan sesuatu yang boleh menghakis pengaruh beliau sendiri di Pulau Pinang dan menimbulkan kemarahan orang Melayu? Tidakkah ini membayangkan sikap beliau sekiranya menjadi Perdana Menteri kelak?

Setelah kejayaan cemerlang parti pembangkang yang menghapuskan kuasa dua pertiga kerajaan Barisan Nasional, Anwar berazam untuk menggulingkan kerajaan BN dan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Rakyat telah turut serta dalam keghairahan beliau ini dan sekalipun 16 Sepetember telah mencatatkan sejarah hitam dalam karier politiknya sebagai seorang yang tidak dapat menunaikan janjinya kepada mereka, namun sebahagian besar masih mempercayainya.

Sentimen politik, ketaksuban kepada kepimpinan dan kelemahan berfikir secara rasional, terpengaruh dengan karisma pemimpin, telah membutakan mata rakyat terhadap kemungkinan yang akan berlaku kepada kepentingan bangsa, agama dan negara jika Anwar Ibrahim menjadi Pedana Menteri.

Apakah beliau akan dapat mengawal sentimen dan dasar parti-parti yang meletakkannya sebagai Ketua Pembangkang atau akan lebih mementingkan untuk membuat penyesuaian bagi mengekalkan kuasa?

Tidak ada seorang pun yang sanggup melihat pencerobohan, penghinaan dan provokasi yang sengaja dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengisi sentimen penyokong-penyokongnya atau untuk kepentingan politik dengan menghina kedudukan Bahasa Kebangsaan. Anwar Ibrahim seolah-olah langsung tidak merasai perasaan ini yang telah bergegar di seluruh negara termasuk di kalangan ahli-ahli partinya sendiri.

Terlalu merendahkan taraf pemikirannya jika Anwar Ibrahim dianggap turut percaya dengan strategi DAP meletakkan tulisan jawi untuk menjustifikasikan penggunaan pelbagai bahasa lain di papan tanda di Pulau Pinang. Apakah tulisan rumi yang bersifat tulisan antarabangsa tidak difahami oleh kebanyakan pelawat luar negara yang memahami bahasa Inggeris.

Mengapakah DAP menggunakan tulisan jawi di papan tanda di Pulau Pinang sedangkan seorang anggota Parlimen DAP mahu menghapuskan tulisan jawi di Bukit Bintang Kuala Lumpur? Tidakkah ini menghina kemampuan berfikir orang Melayu? Apakah Anwar Ibrahim membisu kerana beliau percaya kepada matlamat menghalalkan cara?

Semua ini adalah membayangkan kepada orang Melayu tentang dasar dan cara kepimpinan Anwar Ibrahim sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai seorang Melayu dan Islam, melihat kepada tindak tanduknya terutama selepas pilihan raya, saya yakin bahawa Anwar bijak untuk mencapai matlamat dengan menghalalkan cara tetapi dalam jangka masa cara dihalalkan, banyak sudah matlamat dan maruah yang berkaitan dengan dasar nasional dan keagamaan dihancurkan.

Saya bersyukur Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008 lalu. Bagi saya, kita sebagai orang Melayu ini baik dan mudah untuk bertolak ansur, dalam pada masa yang sama, Melayu ditolak beransur-ansur. Inilah realiti yang sedang dan akan berlaku apabila DAP, anak buah PAP di Singapore mempunyai kuasa.

Tuesday, November 11, 2008

Video Seksaan Kubur

Ada pihak yang mencadangkan agar video yang memaparkan seksaan didalam kubur ditayangkan kepada kanak-kanak. Seperti biasa, ada pihak yang bersetuju dan ada yang menyatakan tidak. Masing-masing mempunyai alasan dan sebab tertentu.

Saya berpendapat video ini wajar ditayangkan kepada kanak-kanak kerana ia bertujuan baik iaitu memberi keinsafan. Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak selalunya akan diceritakan kepada ibu-bapa dan keluarga. Manfaat daripada tayangan video ini bukan saja kepada kanak-kanak tetapi juga kepada golongan dewasa.

Pengajaran yang menggunakan kaedah visual akan lebih berkesan kerana ia memudahkan kita untuk faham dan ingat apa yang telah dipertontonkan. Iklan susu di televisyen pun banyak yang menyatakan kanak-kanak akan lebih berminat dan cepat belajar melalui kaedah ini.

Satu lagi contoh yang mudah boleh diberi. Ada kanak-kanak yang pandai menyanyi, menari dan bergelek ala-ala Inul dan Mas Idayu. Semuanya dipelajari menerusi tayangan di televisyen. Lebih baik menayangkan video yang memberi pengajaran dan keinsafan daripada menyajikan rancangan hiburan semata-mata seperti Akademi Fantasia, Gang Stars, Bintang Kecil dan pelbagai lagi.

Saya berharap agar cadangan ini dapat dilaksanakan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan gejala sosial yang paling banyak berlaku dikalangan orang Melayu dek kerana mabuk dan khayal dengan dunia hiburan.

Pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Fikirkanlah demi agama, bangsa dan negara kita.

Saturday, November 8, 2008

Politik Wang

Sebut saja Pemilihan Umno, tidak pernah lekang dibibir untuk berbicara mengenai politik wang. Gejala ini wujud apabila terdapatnya pertandingan bagi merebut jawatan tertentu dalam Umno oleh orang tertentu. Bagi memastikan diri mendapat pangkat dan jawatan yang diidamkan, maka wang digunakan sebagai habuan dengan harapan dirinya akan dipilih untuk jawatan tersebut.

Contoh yang paling jelas mengenai masalah ini ialah apabila Tun Dr. Mahathir membongkar gejala politik wang kepada umum suatu ketika dahulu. Kes ini terjadi semasa pemilihan kumpulan ‘G7’ di Kubang Pasu bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno. Setiap perwakilan diberi RM200 seorang agar tidak memilih beliau. Beliau yang merupakan bekas Presiden Umno pun tidak terlepas daripada menjadi mangsa politik wang ini.

Aduan dibuat ke Lembaga Disiplin Umno. Akhir sekali, Datuk Seri Mohd Najib yang bakal menjadi Perdana Menteri memutuskan tiada unsur politik wang berlaku. Ini membuatkan saya musykil, siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong? Semua orang tahu mengenai gejala ini kerana ia bukanlah baru terjadi, sebaliknya ada yang menganggap politik wang ini sudah pun berakar dalam Umno.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengesahkan Lembaga Disiplin Umno dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah menemui mekanisme yang akan digunakan untuk menyiasat dakwaan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa sepanjang persidangan perwakilan Umno serta pencalonan pemilihan parti itu Mac depan.

Nampak seperti serius untuk membanteras gejala ini. Persoalannya, mengapa sekarang kelihatan serius, sedangkan masalah telah lama wujud sehingga bertahun-tahun lamanya. Sekiranya rasuah dalam parti yang mempunyai ahli melebihi 3 juta gagal dikekang, bagaimana Umno dan BN berusaha untuk menghapuskan rasuah di negara ini yang mempunyai rakyat seramai 23 juta?

Diharapkan Lembaga Disiplin Umno dapat melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mengekang rasuah dalam parti dan bukannya perubahan yang bersifat kosmetik semata-mata. Tangkap mereka yang terlibat dengan rasuah tanpa memilih bulu, pangkat dan jawatan. Dakwa mereka di mahkamah dan bukannya sekadar menggantung keahlian untuk beberapa tahun saja.

Saya percaya sekiranya rasuah diperangi bermula di peringkat tertinggi, Insyaalah gejala ini akan dapat dibanteras. Tidak mustahil untuk sesebuah negara dan tamadun akan musnah sekiranya rakyatnya hidup bertuhankan pangkat dan wang.

Wednesday, November 5, 2008

Exam

I would like to wish all of you all the best in the examination.

Please forgive me for all mistakes that I have done to you before.

I really hope, all of us will get the best result and achieve our target for this semester. Let’s pray for it.

Saturday, November 1, 2008

PSM 1

Tamatlah sudah seminar Projek Sarjana Muda 1 bagi para pelajar FKM semalam. Saya diberitahu oleh rakan bahawa Wan Nohsa atau lebih dikenali dengan nama manjanya, Pak Usop merupakan pelajar terakhir yang menutup seminar tersebut semalam.

Ada dikalangan kita yang menamatkan seminar tersebut dengan rasa gembira dan berpuas hati dengan kajian projek masing-masing yang telah dijalankan hampir satu semester lamanya. Tetapi, ada juga yang melahirkan rasa kecewa kerana kurang untuk memberikan suatu persembahan mengenai projek dengan baik kepada para panel.

Justeru, saya ingin memberikan sedikit nasihat kepada diri saya sendiri dan juga rakan-rakan yang lain. Kepada rakan-rakan yang memperoleh kejayaan, diingatkan supaya tidak leka dengan kejayaan yang dikecapi hari ini kerana kejayaan untuk hari esok tidak terjamin tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan. Teruskan rentak usaha bagi merealisasikan impian dan kejayaan masing-masing.

Buat rakan-rakan lain, janganlah berputus asa dan patah semangat dengan apa yang telah terjadi. Sebaliknya, jadikan ia sebagai panduan dan cabaran untuk memperbetul dan membaiki kelemahan yang ada. Lakukanlah perubahan untuk menggapai kejayaan yang diidamkan oleh semua pihak.

Ingatlah, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang berusaha mengubahnya." (Ar-Ra'ad: 11).