Najib angkat sumpah Perdana Menteri ke enam
KUALA LUMPUR 3 April — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.
Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.
Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.
Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - Bernama
Sumber: Utusan Malaysia Online
Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak atas perlantikan tersebut.
Diharapkan masa depan Melayu dan Islam akan lebih terbela serta Malaysia akan dipacu ke era kegemilangan dibawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib.
Datuk Seri Najib Tun Razak, selamat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.
Kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, terima kasih diucapkan atas jasa dan sumbangan kepada negara selama menjadi Perdana Menteri. Walau apa pun yang terjadi sebelum ini, pasti ada hikmahnya.